Monday, December 10, 2012

OPSYEN BARU PENCEN KAKITANGAN AWAM MULAI 2014

TANJUNG MALIM  7 Dis. - Kerajaan bercadang memperkenalkan skim yang bakal memudahkan pertukaran keluar masuk ke perkhidmatan awam di negara ini tanpa terikat dengan sistem pencen mulai 2014.Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, cadangan yang hanya melibatkan lantikan baharu itu bagaimanapun adalah pilihan kepada sistem pencen sedia ada.Beliau berkata, skim dinamakan Faedah Persaraan Bercarum (FPB) itu pernah dicadangkan pada 2005 namun ditolak CUEPACS kerana caruman dan faedahnya yang sedikit.
Menurutnya, CUEPACS telah diberi taklimat semalam oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Bahagian Pasca Perkhidmatan dan skim itu ketika ini baru dibincangkan di peringkat awal. 
"Kita belum membuat sebarang keputusan dan akan membawa perkara ini ke kongres untuk melihat pro dan kontranya supaya tiada sebarang pihak yang teraniaya."Melalui skim ini, seseorang yang berhenti daripada kerajaan contohnya, pada umur 40 tahun akan dibayar penuh, kemudian kerja di syarikat milik kerajaan (GLC) dan boleh kembali bekerja di sektor awam dengan skim FPB yang sememangnya lebih baik daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis bicara eksekutif isu kenaikan gaji, elaun dan tuntutan CUEPACS di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini hari ini. 
Sempena majlis tersebut, beliau turut melancarkan Skuad Pengguna, penerbitan Suara Perjuangan Kelab Perkhidmatan Awam (KPA) dan Tabung Gaza oleh UPSI.Omar berkata, skim FPB itu berkemungkinan menarik minat golongan muda peringkat atasan iaitu gred 41 ke atas yang gemar bertukar pekerjaan selain tidak terikat dengan kerajaan.Namun katanya, skim itu juga boleh mendatangkan kesan kepada penjawat awam peringkat bawahan kerana tidak mendatangkan pulangan caruman yang banyak."Bagaimanapun, skim ini tidak melibatkan mereka yang sedang dalam perkhidmatan ketika ini," jelasnya yang turut mengakui negara lain termasuk Singapura telah melaksanakan skim seumpama itu.


SUMBER:UTUSAN MALAYSIA 8.12.2012

No comments:

Post a Comment