Thursday, March 24, 2011

Kerajaan Terengganu isytihar berkabung 40 hari

KUALA TERENGGANU: Semua pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam negeri/persekutuan dan badan-badan berkanun di Terengganu diminta mengikuti peraturan perkabungan sebagai tanda berdukacita atas kemangkatan bonda Yang di-Pertuan Agong Tengku Ampuan Bariah Sultan Hishamuddin Alam Shah.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata dalam tempoh perkabungan 40 hari bermula 21 Mac hingga 29 April itu, pegawai dan kakitangan lelaki Melayu diminta memakai songkok berlilit kain putih berukuran satu inci bagi menghormati perkabungan itu.

"Manakala peraturan pemakaian bagi kakitangan wanita Melayu pula berselindang atau berkain tudung berwarna putih," katanya pada sidang media di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Datuk Wan Ahamad Wan Muda.
Ahmad berkata bagi pegawai dan kakitangan bangsa lain, mereka dikehendaki bertali leher hitam atau lilitan lengan hitam di sebelah kanan (bagi lelaki) dan lilitan lengan hitam bagi wanita.

Katanya polis dan tentera pula dikehendaki menurut cara pemakaian yang telah ditetapkan oleh peraturan pakaian jabatan masing-masing.

"Kita juga harap orang ramai di Terengganu turut sama berkabung dengan memakai songkok berlilit kain putih bagi lelaki Melayu dan lilitan lengan hitam bagi bukan Melayu," katanya.

Ahmad berkata segala perhimpunan ramai dan majlis-majlis atau acara-acara anjuran kerajaan dan bukan kerajaan yang berunsurkan hiburan adalah dilarang diadakan di seluruh negeri Terengganu dalam tempoh itu.
Bagaimanapun, katanya majlis atau acara yang berunsurkan keagamaan, pendidikan, riadah dan ilmiah adalah dibenarkan.

Katanya bendera juga hendaklah dikibarkan separuh tiang di semua bangunan kerajaan atau separuh kerajaan, bangunan perniagaan dan kediaman di negeri itu.
Semua masjid dan surau di Terengganu juga diarahkan mengadakan majlis tahlil selama tujuh hari, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment